Keagamaan Malaikat Maut Mengintai Kita 70 Kali Sehari









MEMANG tiada siapa pun dapat menduga bila saat kematian mereka akan tiba. Sebab itu ramai yang masih leka dan tiada persediaan ‘menanti’ saat kematian mereka.

Allah berfirman yang bermaksud: “Setiap yang hidup akan merasai mati, dan Kami menguji Ente dengan kesusahan dan kesenangan sebagai cubaan; dan kepada Kamilah Ente akan kembali.” (Surah al-Anbiyak ayat 35) Tahukah kita bahawa malaikat maut sentiasa merenung serta melihat wajah seseorang itu 70 kali dalam sehari? Andainya manusia sedar hakikat itu, nescaya mereka tidak lalai mengingati mati.

Oleh kerana malaikat maut adalah makhluk ghaib, manusia tidak dapat melihat kehadirannya, sebab itu manusia tidak menyedari apa yang dilakukan malaikat Izrail.


Hadis Nabi s.a.w yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Abbas r.a bahawa Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Bahawa malaikat maut memerhati wajah manusia dimuka bumi ini 70 kali dalam sehari. Ketika Izrail datang merenung wajah seseorang, didapati orang itu ada yang gelak-ketawa.

Maka berkata Izrail:
‘Alangkah hairannya aku melihat orang ini, sedangkan aku diutus oleh Allah untuk mencabut nyawanya, tetapi dia masih berseronok-seronok dan bergelak ketawa.’”Justeru, tidak hairanlah, jika ramai manusia yang masih mampu lagi bergelak sakan dan bersenang-lenang seolah mereka tiada masalah yang perlu difikirkan dalam hidup. Takdirnya esok hari terakhir Allah ‘pinjamkan’ nyawa kepada kita untuk bernafas di muka bumi ini adakah kita sudah cukup bekalan bagi menghadapi dua fasa berikutnya iaitu alam barzakh dan alam akhirat?

Tiada seorang pun di dunia ini dapat menggambarkan bagaimana perasaan dan pengalaman mereka menghadapi saat kematian.Ajal tidak mengenal sesiapa sama ada mereka itu tua, muda, sihat, kaya ataumiskin.

Rasulullah s.a.w juga menjelaskan dalam hadisnya bahawa kesakitan ketika hampir mati itu seperti ditetak 100 kali dengan pedang tajam atau seperti dikoyak kulitnya dari daging ketika hidup-hidup.

Bayangkanlah betapa sakit dan dahsyatnya saat menghadapi kematian. Kalau hendak diikutkan siapa yang hendak nyawanya dicabut dalam keadaan yangamat menyeksakan.

Maka amat beruntunglah sesiapa yang matinya dalam keadaan khusnul khatimah (kebajikan).

Salman Al-Farisi meriwayatkan hadis Nabi s.a.w yang bermaksud: “Perhatikanlah tiga perkara kepada orang yang sudah hampir mati itu. Pertama: berpeluh pada pelipis pipinya; kedua: berlinang air matanya dan ketiga: lubang hidungnya kembang kempis.

“Manakala jika ia mengeruh seperti tercekik, air mukanya nampak gelap dan keruh dan mulutnya berbuih, menandakan menandakan azab Allah sedang menimpa dia.” (Hadis riwayat Abdullah, al-Hakim dan at-Tarmizi)

Kematian ‘menjemput’ manusia secara perlahan-lahan atau beransur-ansur mulai daripada jasad, hujung kaki kemudian ke paha.

Bagi orang kafir pula, apabila nyawanya hendak dicabut Izrail, wajahnya akan menjadi gelap dan keruh dan dia mengeruh seperti binatang yang disembelih.

Itu pula tanda azab yang diterimanya disebabkan dosa dan kekufuran mereka.

Al-Qamah bin Abdullah meriwayatkan hadis Rasulullah s.a.w yang bermaksud: “Bahawa roh orang mukmin akan ditarik oleh Izrail dari jasadnya dengan perlahan-lahan dan bersopan sementara roh orang kafir pula akan direntap dengan kasar oleh malaikat maut bagaikan mencabut nyawa seekor khimar.”

Allah juga turut menimpakan seorang Muslim yang berdosa itu dengan kekasaran ketika mereka menghembuskan nafasnya yang terakhir sebagai kaffarah dosanya.

Mungkin ada juga orang kafir yang mati dalam ketenangan mungkin kerana ketika hidupnya dia berbuat kebajikan dan itu adalah balasan terhadapnya kerana setiap kebajikan pasti akan dibalas.

Tetapi kerana tidak beriman, ia tidak menjadi pahala kebajikan dan kekufurannya tetap diazab pada hari akhirat kelak.

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Apabila telah sampai ajal seseorang itu maka akan masuklah satu kumpulan malaikat ke dalam lubang-lubang kecil dalam badan dan kemudian mereka menarik rohnya melalui kedua-dua telapak kakinya sehingga sampai ke lutut.

“Setelah itu datang pula sekumpulan malaikat yang lain masuk menarik roh dari lutut hingga sampai ke perut dan kemudiannya mereka keluar. Datang lagi satu kumpulan malaikat yang lain masuk dan menarik rohnya dari perut hingga sampai ke dada dan kemudiannya mereka keluar.

“Dan akhir sekali datang lagi satu kumpulan malaikat masuk dan menarik roh dari dadanya hingga sampai ke kerongkong dan itulah yang dikatakan saat nazak orang itu.”

Malaikat Izrail menjalankan arahan Allah s.w.t dengan sempurna. Dia tidak diutuskan hanya untuk mencabut roh orang sakit saja ataupun roh orang yang mendapat kecelakaan dan malapetaka.

Kematian mungkin berlaku kerana sebab bencana seperti gempa bumi, banjir, kebakaran dan ada juga yang matinya disebabkan kemalangan, diserang penyakit berbahaya seperti kanser, jantung, Aids, denggi dan taun.

Seorang yang sedang sakit tenat, menjadi rahmat yang tinggi nilainya kerana Allah masih memberi peluang supaya mereka sedar akan kesilapan yang mereka lakukan selama hidup di dunia.

Maka waktu itu mereka masih berpeluang bertaubat dari dosa dan kesilapan. Begitu juga halnya dengan orang mati mengejut disebabkan kemalangan. Ia memberi pengajaran dan peringatan kepada mereka yang masih hidup supaya berhati-hati dan tidak lalai berusaha untuk memperbaiki diri.

Justeru, bagi mereka yang masih diberikan nikmat kehidupan perlu sentiasa mengambil iktibar terhadap segala yang berlaku. Allah menjadikan sebab kematian itu bagi memenuhi janji-Nya kepada malaikat maut.

Saidina Abbas meriwayatkan dalam sebuah hadis antara lain menerangkan malaikat Izrail berasa sedih apabila ditugaskan mencabut roh makhluk bernyawa.

Ini kerana antara makhluk bernyawa itu adalah termasuk manusia yang terdiri daripada kekasih Allah iaitu Rasul, nabi, wali dan orang soleh.

Malaikat maut mengadu kepada Allah betapa dirinya tidak disenangi keturunan Adam
a.s.
Dia mungkin dicemuh kerana mencabut roh manusia yang mana menyebabkan orang berduka cita akibat kehilangan orang tersayang dalam hidup mereka.

Justeru, jika seseorang Muslim itu meninggal dunia, beberapa langkah penting perlu dilakukan seperti menempatkan jenazah di tempat yang sesuai sebagai menghormatinya, sunat meletakkan keadaan kakinya menghala ke arah kiblat, tanggalkan pakaian berjahit, tutupkan jenazah dengan sehelai kain nipis ke atas seluruh jasadnya, rapatkan kedua-dua belah matanya dan mulutnya, letakkan kedua-dua tangan jenazah di atas dadanya sebagaimana dalam keadaan qiam (berdiri) ketika solat, letakkan sesuatu yang sederhana berat di atas perutnya seperti gunting dan pisau serta sunat bagi yang hidup mencium jenazah.

Umat Islam dilarang mengaitkan kematian seorang Muslim itu dengan tanda tertentu. Itulah yang menyebabkan umat Islam semakin mundur kerana terlalu banyak mempercayai perkara khurafat dan tahyul.

Jika ada kematian seperti kemalangan contohnya kita ditegah untuk bertanya kepada waris apakah perbuatan ganjil yang dilakukan sebelum kematiannya.Tiada siapa pun dapat mengelak daripada mati melainkan Allah dan kematian tetap akan datang tepat pada masanya.

Apabila sampai ajal seseorang, umat Islam digalakkan memberi nasihat kepada keluarga si mati supaya bertenang dan banyakkan bersabar.

Islam menegah amalan keterlaluan seperti menjerit dan meratapi kematian. Mereka yang masih hidup peluang perlu dimanfaatkan dengan memperbaiki keadaan diri yang ternyata banyak melakukan kesilapan dan kesalahan.

Tiada daya atau usaha yang boleh menyelamatkan kita daripada kematian.Kematian menjadikan hati manusia menjadi sedih serta berpisah dengan keluarga tercinta. Hanya amalan soleh saja akan membawa kita bertemu Allah.



-sumber-

Wanita maut leher tertusuk besi

sinarharian
31 Mac 2013
Wanita maut leher tertusuk besi
Keadaan kereta mangsa yang remuk dan terdapat kesan lubang di cermin bahagian hadapan.
 V Inthirani
V Inthirani
SEREMBAN – Seorang wanita menemui ajal dalam keadaan menyayat hati apabila lehernya tertusuk sebatang besi sepanjang setengah meter yang dipercayai terpelanting dari sebuah lori arah bertentangan ketika sedang memandu di Jalan Batu 8, Kampung Nyatoh, semalam.

Dalam kejadian  jam 10.45 pagi itu, mangsa, V Inthirani, 50, bersama adiknya, V Thilaga, 32, dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Taman Bunga Sejati kira-kira satu kilometer dari lokasi kejadian.

Thilaga  berkata, sebelum kejadian, dia menyedari kereta mereka berselisih dengan sebuah lori satu tan yang tidak membawa muatan.

"Bagaimanapun, secara tiba-tiba, saya lihat satu objek panjang berwarna hitam terpelanting ke arah kereta kami sebelum menembusi cermin bahagian hadapan.

"Pada masa sama, kereta dipandu kakak hilang kawalan dan berpusing sebelum terhenti di tepi jalan," katanya.

Thilaga berkata, semuanya berlaku dalam sekelip mata dan apabila menoleh ke kanan, dia tergamam melihat baju Inthirani berlumuran darah sambil dia memegang sebatang besi yang terpacak di lehernya.

"Ketika itu kakak berada dalam keadaan separuh sedar. Saya menjerit sekuat hati meminta tolong sebelum beberapa pengguna jalan raya dan penduduk berhampiran datang menghulurkan bantuan," katanya.

Bagaimanapun, menurut Thilaga, dia hanya mampu menangis apabila orang ramai memberitahu kakaknya sudah tidak bernyawa.

“Peristiwa itu berlaku terlalu pantas dan saya sangat sedih kejadian yang tidak disangka-sangka itu meragut nyawa kakak saya.

“Malah paling menyedihkan, cuma beberapa minit saja lagi kami sepatutnya dah sampai ke rumah," katanya.

Sementara itu, Pegawai Turus Trafik negeri, Asisten Superintendan Abdul Halil Hamzah mengesahkan menerima laporan kejadian dan punca sebenar masih dalam siasatan.

Katanya, pihaknya kini sedang mengesan lori yang terlibat dan sesiapa yang menyaksikan kejadian itu diharap dapat menghubungi mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) untuk bedah siasat sebelum diserah kepada keluarganya untuk urusan pengebumian,” katanya.

Ditemui Maut Dengan Tembakan Di Kepala

Kes Bunuh

SELINSING – Misteri penemuan sebuah kereta mencurigakan di bahu jalan oleh sepasukan polis akhirnya terjawab apabila seorang lelaki ditemui mati dipercayai ditembak dalam kejadian bunuh di Jalan Gula, Simpat Empat Semanggol, di sini awal pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mat Fauzi Nayan berkata, dalam kejadian kira-kira jam 2.30 pagi itu, polis menerima maklumat awam mengenai penemuan sebuah kereta jenis Proton Waja yang mencurigakan diletakkan di bahu jalan sejak malam kelmarin.
Menurutnya, sepasukan polis pencegahan jenayah dan sekatan jalan raya bergerak segera meninjau lokasi aduan yang terletak berdekatan sebuah ladang kelapa sawit dan mendapati kereta jenis Proton Waja bernombor pendaftaran Pulau Pinang ditinggalkan di tepi jalan dengan keadaan enjin dimatikan.
“Setelah siasatan ke atas kereta dilakukan, salah seorang anggota kita menemui seorang lelaki berada di tempat duduk belakang dengan keadaan tidak bernyawa dipercayai ditembak di bahagian kepala.
“Kita turut menemui dua kelongsong peluru kosong daripada pistol jenis 9mm dipercayai digunakan suspek untuk membunuh mangsa,” katanya sewaktu ditemui media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian di Bagan Serai, semalam.
Mat Fauzi berkata, selain kelongsong peluru, pihaknya turut menemui satu beg kain berzip milik mangsa dan menjumpai sepekat plastik lut sinar dipercayai mengandungi dadah jenis syabu.
Menurutnya, berdasarkan siasatan, kandungan dadah jenis syabu yang ditemui seberat dua gram diletakkan bersama sebuah beg pakaian berisi baju.
“Identiti sebenar mangsa masih tidak dikenal pasti berikutan kad pengenalan mangsa tidak ditemui. Bagaimanapun, kita menganggarkan umur mangsa lingkungan 30an.
“Kita tidak menolak kemungkinan mangsa ditembak sewaktu berada di dalam kereta berdasarkan kedudukan tubuh mangsa ketika ditemui dan motif jenayah masih dalam siasatan,” katanya.
Mat Fauzi berkata, siasatan polis turut mendapati nombor plat kenderaan dinaiki mangsa dilaporkan hilang di Puchong, Kuala Lumpur pada bulan Julai tahun lalu.
Menurutnya, pemilik sebenar kenderaan itu merupakan seorang lelaki Melayu dan berkemungkinan besar bukan milik mangsa memandangkan mangsa berbangsa India.
“Kita turut mengenal pasti kereta dinaiki mangsa ditemui berkedudukan menghala ke Simpang Empat, Semanggol dari arah Kuala Kurau dan bedah siasatan dijalankan di Hospital Parit Buntar pagi tadi (semalam).
“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan kita akan meneliti kes ini, sama ada ia didalangi sindiket pengedaran dadah atau melibatkan gangsterism,” katanya.
Individu yang mempunyai maklumat berkenaan kejadian diminta menghubunginya talian 019-666 6496 untuk membantu siasatan. – SINAR HARIAN

Mesir Jurukamera Sky News Maut Ditembak


Jurukamera Sky News, Mick Deane, 61 telah ditembak mati di Mesir awal pagi tadi.

Mick yang telah bertugas di stesen televisyen Sky telah berkhidmat selama 15 tahun dipejabat yang berpengkalan di Washington dan Jerusalem.

1

Bapa kepada dua orang anak itu adalah sebahagian daripada pasukan media yang dihantar untuk membuat liputan kekejaman di Kaherah.

Menurut laporan Sky News, petugas-petugas media lain dari agensi Sky dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Ketua Editor Sky News, John Ryley menyifatkan Mick adalah jurukamera yang sangat berkaliber, wartawan yang bijak serta menjadi mentor kepada ramai petugas media di Sky.

“Dia (Mick) merupakan wartawan berfikiran kelas pertama. Dia mempunyai pelbagai idea-idea bernas.

“Saya dan petugas-petugas media yang lain pastinya akan merindui dia,” ujar John.

Dalam pada itu, Perdana Menteri Britain, David Cameron menyampaikan ucapan takziah menerusi laman sosial Twitter miliknya.

“Saya sedih mendengar khabar kematian jurukamera Mick Deane yang membuat liputan kekejaman di Mesir.

“Takziah saya ucapkan kepada keluarga mendiang dan warga kerja Sky News.”

Untuk melihat video terakhir Mick ketika di Mesir, sila layari laman web berikut: Tributes For Sky Cameraman Killed In Cairo

Dua Beranak Maut Rumah Dijilat Api


IPOH – Dua beranak ditemui maut dalam kejadian kebakaran di sebuah rumah dua tingkat di Jalan Devadason, Taman Ipoh, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian pada jam kira-kira 8.15 pagi itu, mangsa bekas pekerja bank berusia lingkungan 40-an dijumpai di bahagian tangga tingkat atas, manakala ibunya berusia lingkungan 60-an ditemui di bilik utama tingkat sama.

Ketua Zon 1 Balai Bomba Dan Penyelamat Ipoh, Ruhisha Haris, berkata kedua-dua badan mangsa 100 peratus melecur dan mereka dipercayai maut akibat lemas terhidu asap tebal.

“Punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya. – BH Online