
HANOI – Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin tiba di Hanoi lewat petang ini untuk memulakan lawatan tiga hari ke Vietnam.
Muhyiddin, yang diiringi isteri Puan Sri Norainee Abduk Rahman, tiba sekitar 7 malam dan dijangka memfokus kepada mempererat kerjasama di bidang pendidikan tinggi serta menarik pelaburan dari Vietnam.
Awal pagi esok, beliau dijadual melakukan kunjungan hormat ke atas Timbalan Perdana Menteri Vietnam Nguyen Thien Nhan diikuti upacara menandatangani
Memorandum Persefahaman berhubung kerjasama di bidang pendidikan tinggi antara Malaysia dan Vietnam.
Pada sebelah petang, beliau akan melakukan kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri Vietnam Nguyen Tan Dung manakala di sebelah malam, menghadiri majlis makan malam dengan masyarakat Malaysia di sini.
Pada hari Jumaat, Muhyiddin dijangka menghadiri mesyuarat meja bulat dengan kapten industri dari Malaysia dan Vietnam.
Turut serta dalam rombongan timbalan perdana menteri ialah Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman dan Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin. – BERNAMA
Posting Komentar